Pendirian bertanding solo tanpa kerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum ke-15 kekal, kata UMNO Terengganu.
UMNO Terengganu menetapkan keputusan untuk meletakkan calon bertanding secara solo di 32 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) serta lapan kerusi Parlimen, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat.
“Kita tidak berganjak dengan keputusan bertanding secara solo terutama mempertahankan 10 daripada 32 kerusi DUN dan satu daripada lapan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU lalu,” katanya dipetik laporan BH.
Pada PRU-14, Barisan Nasional (BN) dan UMNO menang 10 daripada 32 kerusi DUN iaitu Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Langkap, Jertih, Hulu Besut dan Kuala Besut, selain dua kerusi Parlimen iaitu Hulu Terengganu dan Besut.
Bagaimanapun, kerusi Parlimen Hulu Terengganu jatuh ke tangan Bersatu selepas Rosol yang bertanding atas tiket UMNO menyertai Bersatu selepas hampir enam bulan menang.
Mengulas lanjut, Rozi yang juga Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu, berkata pintu rundingan terutama membabitkan pengagihan kerusi dengan PAS sudah ditutup walaupun beberapa pemimpin parti itu mendakwa rundingan masih berlangsung.
“BN dan UMNO negeri juga tidak pernah berbincang dengan parti lain, termasuk AMANAH dan PKR bagi menghadapi PRU15, seperti yang didakwa,” katanya.
Mengulas lanjut, Rozi yang juga ADUN Telemong berkata, pendirian BN dan UMNO untuk bertanding secara solo dibuat atas desakan pengundi dan pimpinan parti di peringkat akar umbi.
Sumber: Agendadaily.com