Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan tidak melihat kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) boleh diselamatkan lagi dan menganggapnya sudah sampai ke penghujung.
Mohamad atau Tok Mat itu mendakwa PAS yang mengkhianati kerjasama dalam MN dan bukannya UMNO kerana bersikap tidak menepati janji apabila tetap memilih Perikatan Nasional (BN) walaupun pada awalnya sudah diberikan tawaran.
“Sebenarnya kita tidak pernah pun tinggalkan mereka. Mereka yang tinggalkan MN. Mereka yang sekejap begitu, sekejap begini.
“Tetapi kemudiannya, mereka pula kata kita yang khianat. Itu yang pelik. UMNO tak pernah khianati MN,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Menurutnya lagi, hubungan UMNO dengan PAS tidak boleh diselamatkan lagi dan hanya menunggu masa untuk berakhir sahaja lagi, ia ekoran tindak tanduk PAS sendiri yang tidak ikhlas
“Itu sebabnya bila orang tanya saya pasal MN, saya kata MN ini sudah sampai kepada surah akhir kita. Cuma, sama ada nak khatam sahaja atau tidak.
Kalau nak khatam, khatamlah. Kalau tidak, kita sambung baca lagi,” katanya lagi.
Mohamad berkata rakyat perlu menilai sebaiknya parti mana yang mengkhianati kerjasama itu dan ia semestinya bukan UMNO.
“Semua itu adalah perkara yang boleh dirundingkan. Tak timbul soal UMNO meninggalkan atau mengkhianati MN. UMNO tetap UMNO.
“Pun begitu, saya mesti tegas dan bersuara. Cakap-cakap yang mereka lontarkan seolah-olah UMNO yang mengkhianati MN. Itu sama sekali tidak benar.
“Kami tak pernah kata kami dah tinggalkan MN. Yang UMNO kata, kalau hendak kembali ke dalam MN, baliklah sorang-sorang. Janganlah bawa bini muda balik ke rumah bini tua pula. Kita tak terima bini muda kan?,”ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap PAS lebih menunjukkan kesungguhan, keseriusan dan konsistensi dalam pendirian selain menunaikan janji-janji.
“Tinggalkan PN, sebab dah janji kita akan bersama dengan MN seperti dalam beberapa mesyuarat MN.
“Tapi, seperti yang semua dapat lihat, akhirnya PAS menyertai PN. Kita tak marah pun. Itu hak dan pilihan mereka. Cuma, itulah penyebabnya MN ini tergelincir, sebab PAS menyertai PN,” ujarnya lagi.
Sumber: Agendadaily.com