Search
Search
Kuasa lantik siapa ganti Zuraida hak Perdana Menteri, kata Muhyiddin

Kuasa lantik siapa ganti Zuraida hak Perdana Menteri, kata Muhyiddin

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhak untuk menentukan individu yang akan dilantik bagi menggantikan jawatan yang disandang bekas ahli Bersatu Datuk Zuraida Kamarudin yang keluar parti baru-baru ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan lantikan Zuraida sebelum ini sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah atas kapasitinya sebagai ahli parti tersebut, bagaimanapun terserah kepada Ismail Sabri untuk membuat keputusan berhubung jawatan tersebut.

“Jadi apa pun saya dah beritahu bahawa dari segi pendirian kita Datuk Zuraida dahulu duduk di situ ialah atas kapasiti dia sebagai ahli Bersatu.

Namun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan nama calon baharu bagi jawatan menteri tersebut akan dikemukakan untuk Ismail Sabri membuat pertimbangan sewajarnya.

“Dan bila itu kita akan mencalonkan nama yang dianggap sesuai untuk menggantikan Zuraida disitu,” jelasnya lagi.

Menurut Muhyiddin lagi, Ismail Sabri Yaakob akan memaklumkan kepadanya berhubung statut jawatan disandang Zuraida selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen (MP) Ampang itu.

Berhubung spekulasi mengatakan bakal terdapat lagi beberapa MP lain yang akan keluar parti, Muhyiddin menyifatkan desas-desus itu tidak benar dan sengaja direka bertujuan untuk menyerang Bersatu.

“Bagi saya tidak betul, setakat yang saya tahu mungkin tak ada orang cerita dengan saya tapi apa yang telah saya ketahuilah perkara itu tidak pun saya fikir berlaku Insya-Allah,” katanya lagi.

Menurut laporan, desas-desus mengatakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Rashid Hasnon akan meninggalkan parti mengikuti jejak Zuraida.

Pada 26 Mei lalu Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida menjelaskan langkahnya menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

Sumber: Agendadaily.com

PartiPolitik