Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihati Datuk Asyraf Wajdi Dusuki agar menjauhi pemimpin rasuah dalam satu hantaran di Facebooknya dengan memuat naik status Ketua Pemuda UMNO tersebut.
Sindiran sinis itu ditujukan kepada Asyraf gara-gara perkongsian gambar dalam akaun Facebooknya yang menunjukkan Ahmad Faizal mencium tangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa menghadiri perlawanan bola sepak pusingan kelayakan Piala Asia 2023 semalam di Bukit Jalil.
Ahmad Faizal juga berkongsi satu hadis dalam hantaran di status Facebooknya.
“Daripada Abu Musa dia berkata, bersabda Rasulullah SAW: ‘Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati seorang muslim yang beruban (sudah tua), pembawa Al-Qur’an yang tidak berlebih-lebihan padanya (dengan melampaui batas) dan tidak menjauh (dari mengamalkan) Al-Qur’an tersebut, serta memuliakan pemimpin yang adil.”(HR. Abu Daud No: 7/354).
Menurut Ahmad Faizal, semangat Keluarga Malaysia sentiasa didukung beliau dan mempersoalkan sama ada Asyraf turut menyokongnya atau sebaliknya?
“Saya sentiasa menghormati semangat Keluarga Malaysia, DR ASYRAF WAJDI DUSUKI pula bagaimana?’
“P/s: Jangan malu menghormati pemimpin yang baik, mesti jauhi pemimpin rasuah,” kata Ahmad Faizal lagi.
Terdahulu, Asyraf dalam hantaran di akaun Facebooknya mengeluarkan kenyataan seakan menyindir Ahmad Faizal dengan mengatakan gambar tersebut sebagai “paling win”.
Sumber: Agendadaily.com